PENYERTAAN pada 10 hingga 12 kejohanan utama tahun ini menjadi sasaran awal pemain nombor satu dunia yang juga ratu skuasy negara, Nicol Ann David bagi mempertahankan mahkota Pemain Terbaik Dunia miliknya.
Namun apa yang lebih penting, persiapan rapi harus diatur bagi mengelak kemerosotan seperti yang terjadi pada permulaan musim lalu akibat bercuti panjang biaprun pemain berasal dari Pulau Pinang itu mampu bangkit untuk mempertahankan mahkota kejuaraan dunia buat kali kedua.
Nicol yang menjuarai Terbuka British dan Terbuka Dunia, dua kejuaraan daripada koleksi enam mahkota profesional lain ditambah kejayaan merampas kembali pingat emas Sukan Asia pada jadual 2006, mengakui cuti panjang hanya menjejaskan prestasi seperti yang berlaku tahun lalu.
Bagi mengelak keadaan sama berulang, Nicol berazam untuk meneruskan latihan pesat ketika rehat musim ini selepas menyambut Krismas untuk terus berguru di Melbourne, Australia di bawah kendalian Sarah Fitzgerald sebelum kembali ke gelanggang latihannya di Amsterdam.
“Bulan ini saya akan menjalani latihan di Australia supaya akan lebih bersedia bagi menghadapi musim ini. Saya akan memberi fokus pada 10 hingga 12 kejohanan untuk mendapatkan mata untuk ranking dan perlu memilih kejohanan bagi mempertahankan mahkota dunia,” katanya yang mencatat rekod 36 perlawanan tanpa kalah sejak Julai tahun lalu.
Nicol ditemui ketika majlis penajaan atlit oleh Kumpulan Scomi Berhad di bu negara semalam. Selain Nicol, atlit lain yang turut menerima penajaan ialah pelumba Kart, Jazeman Jaafar; pasukan bola sepak UPB-MyTeam FC dan Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM).
Nicol berkata, dia belum menentukan kejohanan yang akan disertainya tetapi menegaskan ketika ini memerlukan latihan bagi memperkemaskan permainan selepas bercuti sebaik berakhir Sukan Asia.
“April ini ada tiga kejohanan penting di mana saya akan berdepan ramai pemain terbaik dunia. Sebab itu saya perlu lebih bersedia dengan latihan mulai sekarang. Saya perlu pilih kejohanan untuk dapatkan keputusan baik, rehat yang cukup, badan dan minda yang OK untuk memulakan tahun baru.
“Memang saya tidak sabar untuk kembali semula ke gelanggang, saya mahu ke Australia sebelum kembali ke Amsterdam. Latihan di Australia banyak memberi faedah kepada saya dan saya sedar ia amat penting sebagai persiapan saya musim ini,” katanya yang menjelaskan dia akan berada lebih tiga minggu di sana sebelum ke Amsterdam bagi menyertai jurulatihnya, Liz Irving.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Scomi, Shah Hakim Zain, berkata kumpulan syarikat berkenaan memberikan kontrak penajaan selama setahun kepada semua atlit terbabit dan SRAM sebagai sebahagian objektif syarikat bagi membangunkan sukan negara.
“Kontrak ini selama setahun dan memang ada perancangan untuk meneruskannya selama tiga tahun, tetapi setakat ini kami akan hanya memberikannya secara tahunan,” kata Shah Hakim tanpa mahu mendedahkan jumlah penajaan berkenaan.